BACK TO ALL NEWS & EVENTS

Anak syarikat TNB tawar pakej solar PV kediaman

by Berita Harian
Share this on

GSPARX Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh TNB Renewables Sdn Bhd, merancang untuk menawarkan pembiayaan pakej penjanaan kendiri bagi panel solar fotovoltan (PV) kepada pengguna kediaman pada akhir tahun ini.

TNB Renewables Sdn Bhd adalah entiti milik Tenaga Nasional Bhd (TNB). GSPARX, ditubuhkan untuk memenuhi permintaan tinggi terhadap pembiayaan penjanaan kendiri bagi pelaburan solar PV, sudah mula menawarkan pakej kepada pelanggan komersial dan industri.

Sasar tawar 1,500 megawatt Dalam kenyataan semalam, TNB berkata, GSPARX adalah antara syarikat pelaburan pertama di Malaysia yang menawarkan penyelesaian perbelanjaan modal sifar pendahuluan bagi pemasangan panel solar PV.

Menerusi perkhidmatan yang ditawarkan GSPARX, TNB berkata, pelanggannya akan memperoleh manfaat daripada penjimatan dan peluang lindung nilai manakala pemasang mendapat faedah daripada peluang perniagaan bagi pemasangan solar PV.

Ini, menurut TNB, akan merealisasikan sasaran kerajaan, iaitu tenaga boleh diperbaharui menyumbang 20 peratus kepada kapasiti penjanaan negara menjelang 2025.

GSPARX menyasarkan untuk menawarkan 1,500 megawatt bagi penjanaan kendiri untuk pelaburan solar PV pada 2025.

Aliran perolehannya adalah disumbangkan oleh jualan tenaga yang dijanakan oleh solar PV dan digunakan pelanggan pada harga yang dipersetujui kedua-dua pihak berasaskan kesediaan pembeli dan penjual.