BACK TO ALL NEWS & EVENTS

JIMAT BIL ELEKTRIK LEBIH RM40,000 SETAHUN DENGAN PANEL SOLAR PV

by Utusan Malaysia
Share this on

BUKIT MERTAJAM: Pemasangan panel solar jenis fotovoltaik (PV) sejak tahun lepas bukan sahaja membantu Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) mengurangkan karbon, malah membolehkan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu menikmati kadar elektrik lebih rendah berbanding tarif yang diwartakan ketika ini. 

 

Ini terbukti apabila hasil kajian menunjukkan, perbelanjaan pembayaran bil elektrik di ketiga-tiga bangunan milik mereka yang dipasang panel solar itu iaitu pejabat cawangan MBSP Jalan Betek, Kompleks Sukan Bertam dan Kompleks Sukan Jalan Betek di sini mampu dijimatkan  melebihi RM40,000 setahun. 

 

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, pemasangan sistem itu dibuat menerusi skim Perjanjian Pembekalan untuk Tenaga Boleh Diperbaharui (SARE) yang dimeterai bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan anak syarikatnya, GSPARX Sdn. Bhd. (GSPARX) sejak 17 Mei 2019. 

 

“Pemasangan ini sekali gus menjadikan MBSP sebagai PBT pertama di negara ini yang berbuat demikian dengan kos sebanyak RM400,000 untuk 160 unit panel solar ini ditanggung sepenuhnya oleh operator dan TNB menerusi skim SARE ini. 

 

“Sehubungan itu, saya berharap sistem pemasangan panel solar ini akan diadaptasi oleh pihak-pihak lain termasuk swasta pada masa depan,” katanya dalam majlis perasmian pemasangan sistem solar itu di Jalan Betek, di sini hari ini. 

 

Selain pemasangan panel solar di ketiga-tiga bangunan tersebut, sebanyak 220 unit panel solar itu turut dipasang di bumbung tempat letak motosikal pekerja di Ibu Pejabat MBSP di Bandar Perda dengan anggaran penjimatan sehingga RM26,829.63 setahun untuk tempoh selama 25 tahun. 

 

Sementara itu, Datuk Bandar, Datuk Rozali Mohamud memberitahu, pemasangan PV solar itu akan membolehkan MBSP menjual lebihan tenaga solar kepada TNB dan mendapat kredit tenaga bagi asas ‘satu-bagi-satu’ sekali gus mengurangkan lagi bil menerusi skim Permeteran Tenaga Bersih (NEM). 

 

Katanya, MBSP juga tidak perlu mengeluarkan sebarang kos awalan untuk pemasangan sistem solar di bangunan yang telah dipilih dan tenaga solar yang dijana pula akan menggantikan tenaga konvensional sedia ada. 

 

“Melalui konsep ini juga, para pengguna dapat menikmati kadar bayaran bil elektrik yang lebih rendah yang mana kadar yang ditawarkan adalah rendah dan tetap sepanjang tempoh kontrak tersebut (antara 21 hingga 25 tahun),” ujarnya.