BACK TO ALL NEWS & EVENTS

TNB ADA KEMAMPUAN KEWANGAN PACU PENGEMBANGAN DALAM TENAGA DIPERBAHARUI

by DagangNews.com
Share this on

KUALA LUMPUR 28 Sept. - Tenaga Nasional Bhd. (TNB) memiliki kedudukan kewangan yang kukuh bagi memacu langkah pengembangannya dalam tenaga diperbaharui (RE). 

 

Syarikat utiliti itu komited untuk mengurangkan kebergantungan kepada loji jana kuasa berasaskan arang sebanyak 50% menjelang 2035 sebelum mencapai aspirasi bebas arang batu pada 2050.

 

Bagi mencapai hasrat itu, TNB memperuntukkan sebanyak RM6.5 bilion perbelanjaan modal (capex) bagi memenuhi sasaran 8,300MW RE menjelang 2025 berbanding 3,406MW ketika ini.

 

Penganalisis Kenanga Research, Teh Kian Yeong percaya peruntukan TNB itu tidak akan menjejaskan imbangan tunai kumpulan. 

 

"Ujian tekanan yang kami jalankan menunjukkan TNB tidak berdepan isu kewangan bagi merealisasikan pelan pengembangannya memandangkan tahap gearan kumpulan berada pada paras yang selesa sekitar 45 hingga 46% sepanjang tahun kewangan 2022 hingga 2025.

 

"Ini bermakna, kumpulan masih mempunyai ruang untuk meningkatkannya ke paras optimum iaitu 55% daripada 46.3% pada tahun kewangan 2020," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Setakat Mac tahun ini, loji berasaskan arang batu merangkumi sehingga 48% daripada portfolio aset tenaga TNB di Semenanjung Malaysia yang menyumbang kira-kira 24% kepada pendapatan kumpulan. 

 

Bagi menangani isu tersebut, TNB mahu mencapai aset RE sehingga 8,300MW dan menyumbang 10% kepada kumpulan berbanding 5% ketika ini. 

 

Oleh itu, TNB memperuntukkan sejumlah capex bagi membiayai langkah pengembangannya dalam RE dengan meninjau lebih 97% aset dari United Kingdom/Eropah dan Asia Tenggara manakala hanya 361MW sahaja di peringkat tempatan. 

 

Selain itu, TNB juga berikrar untuk tidak membuat sebarang pelaburan dalam loji jana kuasa berasaskan arang batu pada masa depan

 

Kian Yeong berkata, secara keseluruhan, ia melihat langkah itu adalah positif kerana dapat membantu menangani isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang telah memberi tekanan kepada harga sahamnya pada tahun lalu.

 

Katanya, dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini, harga saham TNB juga berkait rapat pada 78% pegangan asingnya.

 

"Ia menyaksikan tekanan jualan dalam sahamnya berlaku sejak 2 tahun lalu apabila pegangan asing jatuh di bawah paras 20% pada awal 2019 kepada ketika ini di bawah 12%, disebabkan isu loji jana kuasa berasaskan batu arang.

 

"Bagaimanapun, jualan itu semakin menurun sejak 2 bulan lalu, sebaliknya, pelabur asing menjadi pembeli bersih ekuiti buat kali pertama pada Ogos lalu, dalam tempoh 21 bulan sebanyak RM154 juta," jelasnya.

 

Namun, tambahnya, masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan sama ada pelabur asing kembali semula untuk membeli saham berwajaran tinggi.

 

Kenanga Research bagaimanapun mengekalkan saranan 'outperform' ke atas TNB dengan harga sasaran lebih tinggi pada RM11.80 berbanding RM11.76 berdasarkan kedudukan hasil kumpulan yang berdaya tahan.